SANTUARI DI TERENGGANU

Home / LOKASI / SANTUARI / SANTUARI DI TERENGGANU

Terdapat 3 buah santuari di negeri Terengganu iaitu:

  • Santuari Ikan Kelah Sungai Pelong, Setiu
  • Taman Biodiversiti Perikanan Sungai Loh, Dungun
  • Santuari Ikan Kelah Kuala Sepetang, Kenyir, Hulu Terengganu

Santuari Ikan Kelah Sungai Pelong ini terletak di Taman Pelancongan Konservasi Kelah Kampung Pelong yang diwujudkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pelong dan komuniti setempat. Usahama ini telah melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Jabatan Perikanan Daerah Setiu serta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu (JPS).  Taman ini telah dibuka sejak tahun 2011 lagi untuk orang ramai baik dari dalam negeri mahupun dari luar. Santuari ini diwujudkan khusus untuk menjaga dan memulihara spesis ikan sungai asli terutamanya spesis Kelah yang banyak terdapat di kawasan ini.

Santuari ini boleh diakses melalui jalan darat dari jalan Sungai Tong ke Kampung Seri Kenangan, Setiu. Kini, jeti Sungai Pelong sedang dibina berhampiran santuari bagi memudahkan orang-ramai berkunjung kemari. Terdapat banyak kemudahan disediakan di kawasan ini seperti tandas, kawasan parkir kenderaan, masjid, kedai makan dan lain-lain. Pengunjung dibenarkan untuk memberi makan kepada ikan dan bergambar. Ikan-ikan Kelah yang dipulihara di sini adalah jinak dan akan mengerumuni manusia apabila disua makanan. Pengunjung juga dibenarkan berkelah di kawasan berhampiran.

Semua pengunjung adalah DILARANG sama-sekali dari memancing atau menangkap ikan yang dipulihara, membuang sampah di dalam kawasan taman pelancongan serta merosakkan sebarang fasiliti yang disediakan. Pengunjung dinasihatkan untuk menjaga keselamatan sepanjang berada di sini dan disarankan untuk membawa pakaian persalinan. Bagi pengunjung yang ingin bermalam pula, anda bolehlah menginap di inapdesa berdekatan Sungai Tong, Setiu atau inapdesa Kampung Seri Kenangan. Tempat-tempat menarik lain berhampiran dengan santuari  ini adalah Kebun Nukleus, Lata Payung dan Lata Ulu Kasar.

Taman ini telah ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai salah satu kawasan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber perikanan dan kepelbagaian Biodiversiti Flora dan Fauna. Ia ditadbir oleh Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu menggunakan peruntukan dari kerajaan negeri. Santuari Ikan di dalam taman ini diwujudkan bagi menjaga dan memuliharan ikan-ikan asli di dalam perairan Sungai Loh terutamanya spesis Kelah.

Kawasan  Taman Biodivesiti Perikanan Sungai Loh ini terbahagi kepada 3 zon iaitu Merah, Kuning dan Hijau. Kebenaran untuk aktiviti adalah seperti berikut:

  • Zon Merah – tidak dibenarkan sebarang aktiviti perikanan dan merupakan lubuk utama Taman Biodiversiti
  • Zon Kuning – dibenarkan untuk memancing sahaja
  • Zon Hijau –  bebas untuk pelbagai aktiviti perikanan yang dibenarkan

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di Taman Biodiversiti seperti kemudahan tandas, surau, stor dan rumah pekerja. Pengunjung yang datang kemari dan berhasrat untuk bermalam bolehlah menginap di hotel di Bukit Besi atau rumah rehat di Kampung Raja yang terletak tidak jauh dari Taman Biodiversiti Perikanan Sungai Loh. Tarikan utama di sini sudah semestinya adalah melihat Ikan Kelah yang dipulihara dan banyak terdapat di sini. Selain aktiviti memancing di Zon Kuning, pengunjung juga dibenarkan berkelah atau berkemah di tapak perkemahan yang disediakan. Tarikan-tarikan lain pula adalah seperti melihat Pokok Cengal Besar dan Trailhead Campsite Sungai Kelemin.

Taman Biodiversiti Perikanan Sungai Loh boleh diakses melalui jalan darat iaitu dari Jalan Bukit Besi ke kampung Jongok Batu, Pasir Raja, Dungun, Terengganu. Para pengunjung adalah dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga serta disarankan untuk membawa baju persalinan dan bekalan makanan/minuman yang diperlukan.

Santuari Ikan Kelah Sungai Petang merupakan sebuah santuari ikan yang ditubuhkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Usaha awal telah dijalankan pada tahun 2005 iaitu dengan pelaksanaan kajian inventori oleh Jabatan Perikanan. Pada Januari 2006, usaha pengumpulan ikan telah dijalankan. Santuari Kelah mulai dibuka kepada umum pada 15 Oktober 2008. Sehingga Disember 2014, Santuari Kelah telah menerima 29,396 orang pengunjung dari dalam dan luar negara.

Santuari ini dibuka kepada orang ramai dengan bayaran tiket kemasukan sebanyak RM 10 untuk orang dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak. Di antara fasiliti-fasiliti yang disediakan di sini adalah seperti pos kawalan di kompleks santuari yang beroperasi 24 jam sehari,  surau, tandas, laluan pejalan kaki Fasa 1 sepanjang 800 Meter, jambatan gantung sepanjang 200 Meter dan lain-lain lagi. Pengunjung dibenarkan untuk bermain, memberi makan dan mandi bersama Ikan Kelah yang jinak serta menikmati keindahan alam sekitar. Bagi pengunjung yang ingin bermalam pula, anda bolehlah menginap di rumah bot, resort, rumah peranginan kerajaan, lodge atau inapdesa Kampung Basong yang terletak berhampiran.

Santuari Ikan Kelah Sungai Petang ini terletak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang dihubungkan melalui Pengkalan Gawi,Tasik Kenyir. Jarak perjalanan dari bandar Kuala Terengganu ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir adalah 65 km (lebih kurang 1 jam 10 minit tempoh perjalanan) manakala jarak dari Pengkalan Gawi ke Kompleks Santuari/ Hentian 1 adalah 21 km (lebih kurang 40 minit menaiki bot laju atau 2 jam jika menaiki rumah bot). Jarak dari Hentian 1 ke Lubuk Kejor pula adalah 1.7 Km (lebih kurang 45 minit berjalan kaki). Perjalanan dari Pengkalan Gawi ke santuari adalah sebelum pukul 12 tengahari bagi mengelakkan keadaan gelap semasa perjalanan balik.

Galeri Foto

Taman Pelancongan Konservasi Kelah Sungai Pelong

Taman Pelancongan Konservasi Kelah Sungai Pelong

Taman Biodiversiti Perikanan Sungai Loh

Taman Biodiversiti Perikanan Sungai Loh

Santuari Kelah Sungai Petang

Santuari Kelah Sungai Petang

Informasi

SANTUARI IKAN KELAH SUNGAI PELONG
Taman Pelancongan Konservasi Kelah Kampung Pelong,
2500 Sungai Tong,
Setiu, Terengganu

+6016-289 4007
ROSMAWATI BT MD ZALI

TAMAN BIODIVERSITI PERIKANAN SUNGAI LOH
Dungun, Terengganu

+6016-289 4007
ROSMAWATI BT MD ZALI

SANTUARI IKAN KELAH SUNGAI PETANG
Tasik Kenyir, Hulu Terengganu,
Terengganu

+6016-289 4007
ROSMAWATI BT MD ZALI

Lokasi

Lihat Juga

Taman Laut
Taman Laut

6 taman laut di 5 negeri & 1 wilayah persekutuan

Pusat Penyu
Pusat Penyu

6 buah Pusat Konservasi dan 1 Ruang Pameran

Santuari
Santuari

12 pusat santuari di 7 buah negeri

previous arrowprevious arrow
next arrownext arrow