Taman Laut Johor juga dikenali sebagai Taman Laut Pulau Tinggi. Ia terdiri daripada perairan di sekitar 13 pulau termasuk Pulau Gual, Pulau Harimau, Pulau Mensirip, Pulau Babi Hujung, Pulau Babi Tengah, Pulau Babi Besar, Pulau Rawa, Pulau Tinggi, Pulau Mentigi, Pulau Sibu, Pulau Sibu Hujong, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur. Pulau-pulau ini terletak di timur laut pantai di Negeri Johor dan terletak di antara 8 ke 35 batu nautika dari Mersing. Gugusan pulau dan perairan sekitarnya telah digazetkan sebagai Taman Laut dalam tahun 1994 di bawah Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1993).
Topografi pulau-pulau ini dicirikan oleh pinggiran pantai yang sempit, meninggi ke rabung dan tubir berbatu. Ketinggian bukit-bukit ini boleh dianggarkan menjangkau sehingga ke 600m di Pulau Tinggi. Pinggiran pantai terdiri daripada pantai pasir halus yang dipenuhi dengan lapisan batu dan pantai lanar yang berpunca dari laut. Sebahagian besar pedalaman pulau dipenuhi hutan, dengan pokok buah-buahan dan kelapa memenuhi sekeliling kampung dan rumah-rumah rehat.
Pulau-pulau ini didominasi oleh batu-batu granit yang tidak berbeza atau dilapisi bahan enapan Permian yang terdiri daripada phyllite, batu loh dan batu shal atau batu pasir yang tidak penting.
Julat saiz batu-batu bergranit ini adalah dari sebesar bongkah-bongkah hinggalah ke batu-batu buntar yang bersaiz kecil akibat dari pendedahan kepada ombak dan cuaca secara berterusan.
Iklim gugusan pulau ini adalah panas dan lembab sepanjang tahun. Suhunya jarang jatuh di bawah 20°C walaupun pada waktu malam, dan biasanya mencecah 30°C atau lebih pada waktu siang. Kelembapan secara umumnya adalah sekitar 90%. Musim monsun adalah di antara bulan November dan Mac. Pada waktu ini, hujan lebat dan lautan di sekeliling bergelora, sehinggakan gugusan pulau ini sukar dihubungi dengan bot.
Aktiviti ekonomi utama di pulau ini adalah pelancongan dan menangkap ikan. Pembangunan pelancongan sebahagian besarnya bertumpu di Pulau Babi Besar, Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur. Pulau-pulau ini berkepadatan jarang, dengan dihuni oleh lebih kurang 370 keluarga.
Terdapat tapak perkemahan disediakan kepada pelancong di kawasan Pusat Taman Laut Pulau Tinggi dengan kadar sewaan RM10 bagi satu tapak. Juga, terdapat air terjun di Pulau Tinggi yang boleh dikunjungi dan menjadi tempat mandi-manda pelancong.
Selain itu, ada dua buah resort di Pulau Rawa yang boleh dikunjungi bagi mereka yang ingin bermalam sambil menikmati pemandangan pulau yang indah. Kedudukan Pulau Rawa ini tidak jauh dari tanah besar dan mengambil masa 20 minit menaiki bot laju dari Jeti Mersing.
Terdapat sebuah santuari Penyu yang diusahakan oleh pemilik resort di Pulau Tengah yang boleh dilawati. Anda boleh melihat spesis penyu yang dipulihara di sini selain mengetahui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di santuari tersebut.
Bagi anda yang meminati aktiviti skuba selam pula, anda boleh mengikuti aktiviti ini di sini kerana terdapat banyak tempat selaman yang dihiasi batu karang dan hidupan marin yang cantik di sekitar Pulau Tinggi dan Pulau Sibu.
Kemudahan bilik mandi dan tandas, meja untuk berkelah dan tempat barbeku disediakan di beberapa kawasan tertentu. Jeti di pusat pelancong membolehkan bot untuk ke pantai. Pelawat boleh membeli barangan seperti makanan dan minuman di kedai di kawasan kampung. Untuk menyewa peralatan menyelam dan mengisi tangki selam, pelawat boleh membuat pertanyaan di kedai selam yang berkenaan.
Pihak pengurusan taman telah menyediakan boya penambat di atas batu karang untuk bot snorkel dan selam. Untuk mengelakkan kemusnahan batu karang akibat sauh, kapal-kapal atau feri hanya dibenarkan untuk berlabuh di kawasan tertentu sahaja.
Taman Laut Pulau Tinggi mempunyai beberapa kawasan perkhemahan yang sangat baik dengan pantai yang bagus untuk berkelah dan perairan cetek untuk berenang yang selamat. Ini boleh didapati di teluk besar Pulau Sibu, Pulau Dayang dan Pulau Rawa. Perahu-perahu dapat menikmati lawatan bersiar-siar di pulau-pulau, melihat formasi batuan seperti Pulau Aur dan hutan hujan yang meliputi sebahagian besar pulau. Aktiviti lain termasuk mendaki, memerhatikan burung, memanjat tebing, berselancar dan menyelam.
Melalui Jalan Darat dan Laut
Laluan masuk utama ke Taman Laut Pulau Tinggi adalah Tanjung Leman atau Mersing (kedua-duanya di Johor). Terdapat perkhidmatan feri berjadual (2½ jam perjalanan) dari Mersing ke Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Rawa (1 jam) manakala Pulau Pemanggil dan Pulau Aur (2½ jam). Perkhidmatan feri yang sama dari Tanjong Leman menghubungkannya dengan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi (1 jam).
Terdapat juga perkhidmatan bas ekspress dari pekan dan bandar utama ke kedua-dua persinggahan ini. Laluan utama adalah seperti berikut:
- Dari Kuala Lumpur ke Jeti Tanjung Leman (4 jam) atau Jeti Mersing (5½ jam perjalanan).
- Dari Singapura ke Jeti Tanjung Leman (2 jam) atau Jeti Mersing (2½ jam perjalanan).
Senarai Pengusaha Selam Skuba Taman Laut Johor
Bil. | Nama Operator | Alamat | No. Telefon | No. Faks | Mobile | Emel |
---|---|---|---|---|---|---|
1 | Dan’s Nasty Frogmen Dive Base | Sea Gypsy Village, Pulau Sibu | 07-222 8642 | 019-675 0995 | divebase@siburesort.com | |
2 | Hi Tech Divers | Rimba Island Resort, Pulau Sibu | 017-7048 592 / 012-710 6855 | rimba@resortmalaysia.com | ||
3 | Orca Scuba | Rawa Island Resort, Pulau Rawa | 07-799 5433 | 013-581 7915 | rawaisland@live.com | |
4 | Batu-Batu Resort | Pulau Tengah | 017-755 2770 | info@batubatu.com.my | ||
5 | Pulau Besar Dive & Sea Sport | Besar Bagus Palace, Pulau Besar | 019-739 2589 | |||
6 | Duyong Dive Centre | Kg. Pasir Panjang, Pulau Tinggi | 018-314 4465 | diveddc@gmail.com | ||
7 | Gilligans Dive Resort | Pulau Aur | 016-548 9976 | enquiry@aurislandresort.com |