Pulau Labuan terletak di pantai barat Sabah, lebih kurang 8 kilometer daripada titik terdekat Sabah dan kira-kira 123 kilometer daripada Kota Kinabalu yang merupakan Ibu Negeri Sabah. Perairan 2 batu nautika dari pantai yang mengelilingi 3 buah pulau kecil ini, telah diisytiharkan sebagai Taman laut selepas 1994. Tiga buah pulau tersebut adalah Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar, yang terletak di barat daya Pulau Labuan.
Pulau Kuraman terletak kira-kira 14 kilometer daripada Pelabuhan Victoria, Labuan dan bersaiz lebih kurang 5.2 kilometer persegi. Ia mempunyai dua pantai yang putih dan cantik, sesuai untuk berkelah dan berjemur di bawah sinaran matahari.
Pulau ini dikelilingi oleh batu karang keras; spesies paling mudah ditemui adalah Acropora tubinaria. Batu karang boleh dijumpai di kedalaman 8 – 13 meter. Pulau Rusukan Kecil terletak berhampiran Pulau Kuraman dan keluasannya hanya 8 ha. Terumbu karang di sekitar Pulau Rusukan Kecil kebanyakannya terdiri daripada spesies Acropora dan Platygyra. Pulau Rusukan Besar bersaiz lebih kurang 14 ha dan terletak bersebelahan Pulau Kuraman, dan lebih kurang 15km daripada Pelabuhan Victoria.
Selain 3 buah pulau ini, pelawat-pelawat ke Labuan juga boleh melawat beberapa tukun kapal karam untuk menyelam di mana karang, terutamanya karang lembut dan hidupan marin boleh dijumpai dengan banyaknya. Tukun kapal karam ini dikenali sebagai “Cement Wreck“, “American Wreck“, “Australian Wreck” dan “Blue Water Wreck“. Penyelam yang boleh menyelam di tukun kapal karam ini terdiri daripada penyelam baru hinggalah ke penyelam berpengalaman yang boleh menyelam sehingga ke dalam rangka kapal.
Terdapat banyak hotel-hotel dan chalet yang menyediakan penginapan kepada pengunjung-pengunjung Pulau Labuan. Anda boleh menempah mengikut pakej yang disediakan bagi mereka yang ingin bermalam di sini. Selain itu, ketika datang ke sini, berkunjunglah ke Pusat Taman Laut Pulau Rusukan Besar untuk mendapatkan lebih informasi berkenaan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Taman Laut.
Perairan di sekeliling pulau ini adalah amat sesuai untuk snorkel dan berenang. Terdapat juga tempat-tempat untuk berkhemah dan berkelah. Terdapat terumbu karang di perairan barat, timur dan selatan pulau Kuraman. Perairan di sebelah timur dan selatan pulau tersebut sangat sesuai untuk aktiviti snorkel dan memerhati dari bot “glass-bottom”, serta selam skuba.
Melalui Udara
Labuan boleh dihubungkan melalui penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu. Tempoh penerbangan adalah masing-masing 2½ jam dan 20 minit.
Melalui Laut
Perjalanan melalui kapal dari Pelabuhan Victoria ke 3 buah pulau mengambil masa kira-kira 30 minit. Perjalanan dari Pelabuhan ke tukun kapal karam mengambil masa 30 minit hingga 1½ jam.
Senarai Pengusaha Selam Skuba Taman Laut Labuan
Bil. | Nama Operator | Alamat | No. Telefon | No. Faks | Mobile | Emel |
---|---|---|---|---|---|---|
1 | Borneo Star Dive Sdn Bhd | S06 & SS07 Labuan International Sea Sports Complex | 07-222 8642 | 012-824 5177 | stardivers2005@yahoo.com |