TAMAN LAUT TERENGGANU

Home / LOKASI / TAMAN LAUT / TAMAN LAUT TERENGGANU
Pulau
Bilangan pulau yang digazetkan
Km²
Keluasan pulau
RM Bilion
Jumlah Nilai Ekonomi (untuk Pulau Redang bagi tahun 2011 & Pulau Perhentian bagi tahun 2015)
Pelancong
Jumlah pelancong pada tahun 2019

Terdapat 4 gugusan pulau taman laut di negeri Terengganu iaitu gugusan Pulau Redang, gugusan Pulau Perhentian, gugusan Pulau Kapas dan gugusan Pulau Tenggol.

Gugusan Pulau Redang terdiri daripada 12 pulau iaitu Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Chupak, Pulau Yu Kecil, Pulau Yu Besar dan Pulau Lima (Limau). Perairan di sekeliling pulau-pulau ini sejauh 2 batu nautika dari tikas air surut terendah dikenali sebagai Taman Laut Pulau Redang Malaysia. Selepas penubuhan taman-taman laut, perairan yang sama dikenali sebagai Kawasan Larangan Perikanan.

Ramai orang yang menjalani kehidupan dan melakukan aktiviti-aktiviti rekreasi di perairan Taman Laut dengan berkongsi menggunakan perairan yang dilindungi ini berserta dengan sumber-sumber kehidupan semulajadinya. Tujuan utama Taman-taman Laut diwujudkan ialah untuk menguruskan penggunaan taman di samping meneruskan penglibatan untuk memulihara sumber-sumber laut.

Iklim gugusan pulau ini didominasi oleh monsun timur laut, yang bertiup dari bulan November hingga Mac, menyebabkan musim yang lebih lembap dalam bulan-bulan tersebut berbanding bulan lain di sepanjang setahun. Pada waktu ini, hujan lebat dan lautan di sekeliling bergelora, sehinggakan gugusan pulau ini sukar diakses dengan bot. Walaubagaimanapun hujan kerap turun di sepanjang tahun dengan cuaca panas yang pendek. Sistem saliran dibekalkan oleh sungai utama iaitu Sungai Redang dan beberapa anak sungai.

Lebih kurang 200 keluarga menetap di perkampungan nelayan di dalam rumah yang dibina di atas tiang-tiang kayu di pulau utama Pulau Redang di muara Sungai Redang.

Pertanian dijalankan terutamanya di tanah rata di lembah Sungai Redang dengan pokok buah-buahan ditanam di lereng-lereng bukit. Tinggalan ladang kelapa dan lada masih wujud di Pulau Redang. Penghuni pulau sebahagian besarnya adalah nelayan. Walaubagaimanapun, sesetengahnya mencari pendapatan sampingan dengan memungut sarang-sarang burung yang boleh dimakan dari koloni layang-layang di gua-gua di sepanjang pantai timur laut.

Taman Laut Pulau Redang yang diuruskan oleh Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia, memberikan perlindungan dan pengurusan khusus untuk kawasan-kawasan marin yang penting untuk negara. Matlamat utama adalah untuk melindungi, memulihara dan menguruskan persekitaran marin yang penting secara berterusan dan menggalakkan orang awam memahami, menghargai dan menikmati warisan marin semulajadi Malaysia bagi generasi Malaysia masa kini dan yang akan datang.

Gugusan Pulau Perhentian terdiri daripada 3 pulau iaitu Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian Besar dan Pulau Susu Dara. Pulau Perhentian adalah Pulau yang unik di negeri Terengganu dan terletak kira-kira 21 km dari Kuala Besut, Terengganu. Ia menjadi pilihan pelancong kerana keunikan pasirnya yang putih dan halus serta kepelbagaian biodiversiti marinnya. Dahulunya, pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan pedagang, dan akhirnya pulau ini dikenali sebagai “Pulau Perhentian”.

Kawasan penempatan penduduk tertumpu di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil yang mempunyai pelbagai kemudahan asas. Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Perhentian digunakan untuk aktiviti pelancongan, manakala bakinya diliputi kawasan hutan hujan tropika.

Gugusan Pulau Kapas terdiri daripada 2 pulau iaitu Pulau Kapas dan Pulau Gemia. Ia terletak di sebelah timur 6 kilometer dari Marang, Terengganu. Pulau Gemia pula terletak di utara Pulau Kapas. Nama Pulau Kapas adalah berasal dari pasir pantainya yang putih. Pulau ini mempunyai hutan hujan tropika, air laut yang jernih, pasir pantai yang putih dan terumbu karang hidup di sekitar perairannya. Pulau ini terkenal sebagai syurga selaman dan snorkeling.

Pulau ini terbentuk daripada 6 buah pulau iaitu Pulau Tenggol, Pulau Nyireh, Pulau Tokong Timur, Pulau Tokong Talang, Pulau Tokong Burung dan Pulau Tokong Kemudi. Pulau Tenggol merupakan destinasi menyelam yang popular. Terletak hanya 45 minit dari pesisir pantai Kuala Dungun di bahagian selatan negeri Terengganu, ramai penyelam menggelarkan Pulau Tenggol sebagai The Mini Sipadan.

Tepian pantai Pulau Tenggol dihiasi dengan pasir putih dan airnya jernih. Ia tidak mempunyai penduduk tetapi mempunyai beberapa resort yang menarik di Teluk Air Tawar. Ia merupakan sebahagian daripada Taman Laut Malaysia yang diwartakan sejak tahun 1994.

Gugusan Pulau Redang

Di Pulau Redang, anda boleh pergi ke Pantai Pasir Panjang (Long Beach) yang merupakan sebuah tarikan popular di sini. Pantainya jernih dan permukaannya landai serta kawasannya berteluk seakan-akan sebuah lagun buatan. Pemandangan matahari terbit dan terbenam di kawasan pantai ini amat indah dan saujana mata memandang.

Selain itu, Pantai Chagar Hutang pula merupakan satu lagi kawasan yang dikhaskan untuk pemuliharaan Penyu Agar dan Penyu Karah. Walau bagaimanapun, kawasan pantai ini ditutup untuk sebarang aktiviti pelancongan bagi melindungi landskapnya dan membolehkan penyu-penyu bertelur tanpa diganggu oleh manusia.

Hutan-hutan bakau adalah sebahagian dari tarikan utama di Pulau Redang. Kedua-dua tanah dan perairan diuruskan sebagai satu ekosistem bersepadu dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu. Pembangunan di atas tanah persendirian diuruskan oleh perancangan dan garis panduan persekitaran yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kesan persekitaran yang buruk kepada ekosistem pulau.

Gugusan Pulau Perhentian

Terdapat 17 tempat selaman yang menarik di Pulau Perhentian seperti di Gua Kambing, Shark Point, Batu Nisan, D’ Lagoon dan Tanjung Basi. Terdapat juga 23 tempat snorkeling di sekitar pulau ini.

Gugusan Pulau Kapas

Terdapat banyak trek pejalan kaki untuk aktiviti Jungle Trekking di pulau ini. Bagi anda yang sukakan cabaran, bolehlah meneroka hutan hujan tropika di pulau ini dengan mengikuti trek yang telah ditetapkan. Untuk menikmati pemandangan indah pulau, anda disarankan untuk naik ke Kapas View Point yang terletak 45 minit dari Jeti. Di sini, anda boleh menyaksikan pemandangan indah Pulau Kapas dari kawasan tinggi.

Anda juga boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang indah di Batu Singa. Untuk naik ke puncak bukit berhadapan Batu Singa, anda mestilah ditemani oleh penunjuk arah. Jika cuaca berkeadaan baik, anda bukan sahaja akan menikmati pemandangan yang luar biasa, bahkan merasai deruan angin Laut Cina Selatan yang mendamaikan.

Terdapat juga beberapa buah resort yang diusahakan oleh pengusaha-pengusaha tempatan yang menawarkan pakej penginapan dan aktiviti riadah bagi mereka yang ingin bermalam di sini.

Gugusan Pulau Tenggol

Pulau Tenggol terkenal dengan cerun-cerun berbatu yang menakjubkan sekaligus menawarkan lebih 20 kawasan menyelam yang menarik dan mencabar untuk diteroka. Antara yang menjadi tumpuan ialah Teluk Air Tawar, Tanjung Api, Highway, Tolong Laut dan Rajawali Reef.

Dinding batu merupakan tarikan utama dasar laut di kawasan ini. Jika menyelam pada kedalaman 30 meter, dinding batu itu kelihatan begitu menakjubkan. Ditambah pula dengan ikan-ikan yang mendiami dan melintasinya, ia tidak ubah seperti melihat sebuah akuarium.

Nota: Kesemua pulau-pulau peranginan di Negeri Terengganu akan ditutup untuk sebarang aktiviti pelancongan mulai bulan November hingga Februari kerana musim tengkujuh.

Kemudahan bilik mandi dan tandas, meja untuk berkelah dan tempat barbeku disediakan di beberapa kawasan tertentu. Jeti di pusat pelancong disediakan untuk membawa pelancong memasuki pulau. Pihak pengurusan taman telah menyediakan boya penambat di atas batu karang untuk bot snorkel dan selam. Pelawat boleh membeli barangan seperti makanan dan minuman di kedai di kawasan kampung. Untuk menyewa peralatan menyelam dan mengisi tangki selam, pelawat boleh membuat pertanyaan di kedai selam yang berkenaan.

Ketika berada di kawasan Taman Laut Pulau Redang, silalah berkunjung ke Pusat Pelawat di Pulau Pinang dan kami akan membantu dalam memberikan anda haluan serta segala maklumat yang diperlukan supaya anda dapat merancang lawatan anda dan menjadikannya sebagai satu lawatan yang sangat menyeronokkan. Penerangan mengenai gugusan pulau serta perairan di sekitarnya telah disediakan di pusat dalam bentuk pameran, peta, risalah, tayangan slaid/video dan ceramah untuk menambah keseronokan dan penghayatan anda terhadap biodiversiti marin dan pulau. Penerangan denai-denai dan kawasan-kawasan yang sentiasa menjadi perhatian akan ditekankan di pusat ini.

Bagi pelawat yang ingin menginap pula, anda bolehlah membuat tempahan di resort-resort di pulau-pulau seperti Redang, Perhentian, Kapas dan Tenggol mengikut harga dan pakej ditawarkan.

Gugusan Pulau Redang

Taman ini menyediakan pelbagai peluang rekreasi luar bersesuaian seperti snorkel, menyelam, berkelah, berkhemah, memancing, menaiki bot, berenang, jungle tracking dan memanjat bukit, memerhati burung, meninjau hidupan liar dan fotografi di darat dan dasar laut.

Snorkel dan menyelam merupakan cara terbaik untuk memerhati dan menikmati terumbu batu karang di Pulau Redang. Perairan di dalam taman menyediakan salah satu tempat menyelam yang paling menyeronokkan dan menakjubkan di Semenanjung Malaysia. Jarak penglihatan adalah sangat baik hampir sepanjang tahun.

Pulau Redang mempunyai beberapa tempat perkhemahan yang baik dengan pantai yang luas dan sesuai untuk perkelahan. Air yang cetek membolehkan aktiviti berenang dilakukan dengan selamat. Kesemuanya boleh didapati di teluk yang luas di Teluk Dalam ke utara dari pulau, Pasir Teluk Kalong dan Pasir Panjang; pantai yang lebih kecil dan terpencil berada di sebelah barat dan utara pantai, di Pasir Mak Simpan, Pasir Mak Kepit dan Pasir Chagar Hutang.

Penumpang bot boleh menikmati lawatan ke pulau-pulau yang memakan masa 12 jam, melihat pembentukan batuan dan hutan hujan yang meliputi sebahagian besar pulau ini.

Pulau ini menyediakan kawasan semulajadi yang baik untuk mengembara dengan berjalan kaki. Ia boleh digabungkan dengan memerhati burung, melihat penyu dan meninjau haiwan dan tumbuhan. Fosil tumbuhan yang masih baik dari zaman Upper Paleozoic boleh dilihat di bahagian barat daya Pulau Redang di antara Pasir Macam Ayam dan Pasir Kechil.

Gugusan Pulau Perhentian

Pelbagai spesis batu karang yang unik dan cantik terdapat di sini. Kualiti air laut di sekeliling Pulau Perhentian adalah pada tahap baik dan mempunyai suhu air yang selesa di mana ia merupakan suatu tarikan utama untuk pelancong  melakukan aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Gugusan Pulau Kapas

Aktiviti utama di Pulau Kapas adalah jungle trekking di mana terdapat banyak trek-trek tersedia untuk dilalui oleh pelawat bagi melihat pemandangan hutan hujan tropika di pulau ini. Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti berkanu atau berkayak pada harga yang berpatutan dari pengusaha-pengusaha yang menawarkan perkhidmatan ini. Bagi anda yang sukakan cabaran, bolehlah mendaki bukit untuk melihat pemandangan pulau dari tempat tinggi berdekatan Bukit Singa.

Terdapat juga pilihan untuk bersiar-siar di sepanjang pantai atau mengikuti trip Island Hopping bagi mereka yang inginkan aktiviti yang lebih santai. Aktiviti Island Hopping boleh membawa anda melawat sekitar pulau, meninjau Gua Sarang Kelawar serta ke shark point yang merupakan tempat Jerung bermain.

Gugusan Pulau Tenggol

Banyak cara anda boleh menikmati keindahan Pulau Tenggol. Antaranya dengan mandi-manda di pantai, berenang, snorkeling, atau menyelam. Penyelam akan menemui kepelbagaian hidupan marin yang menarik di sini. Antara yang popular di kalangan penyelam ialah kehadiran Ikan Jerung Paus yang mudah dijumpai di perairan Pulau Tenggol. Jerung Paus (Rhincodon typhus) merupakan spesis ikan terbesar yang boleh mencapai panjang lebih dari 12 meter dan berat melebihi 35 tan.

Melalui Udara

  • Anda boleh menaiki kapal terbang Berjaya Airlines terus ke Pulau Redang.

Melalui Jalan Laut

Pulau Redang:

  • Mulakan kunjungan anda dari negeri pantai timur Terengganu di Semenanjung Malaysia. Terdapat perkhidmatan bot dari pelabuhan nelayan di Chendering, P. Kambing, Jeti Merang ke pulau-pulau.
  • Masa perjalanan dari tanah besar ke pulau-pulau adalah lebih kurang 3 jam dari Pulau Kambing atau Chendering dan 2 jam dari Jeti Merang.

Pulau Perhentian:

  • Anda perlu mendapatkan khidmat bot dari Kuala Besut. Dari Jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian akan mengambil masa selama 1/2 jam menaiki bot laju atau 45 minit menaiki bot biasa.
  • Terdapat juga pilihan untuk menaiki feri dengan tempoh perjalanan selama 40 minit.

Pulau Kapas:

  • Anda perlu pergi ke Jeti Marang dan menaiki feri/bot di sana. Anggaran tempoh perjalanan di antara 15-20 minit.

Pulau Tenggol:

  • Pengunjung mestilah terlebih dahulu pergi ke Dungun, Terengganu sebelum memulakan perjalanan ke pulau ini.
  • Dari Jeti Kuala Dungun, anda  boleh mengambil bot laju yang mengambil masa lebih kurang 35 minit. Anda dinasihatkan menghubungi resort yang ditempah di Pulau Tenggol terlebih dahulu kerana perkhidmatan bot ke pulau ini adalah terhad memandangkan ia agak jauh dari tanah besar.

Senarai Pengusaha Selam Skuba Taman Laut Terengganu

Bil.Nama OperatorNo. TelefonNo. FaksMobileEmel
1Laguna Redang Island ResortPantai Pasir Panjang09-630 788809-630 7878enquiry@lagunaredangtt.com.my
2Redang Beach ResortPantai Pasir Panjang09-630 280009-630 2803rbr@tm.net.my
3Redang Bay Dive CentrePasir Panjang09-620 320009-624 2048sales@redangbay.com.my
4Redang Reef Dive ShopPasir Panjang09-630 218109-630 2182contact@redangreefresort.com.my
5Redang Mutiara Beach ResortTelok Kalong Besar017-938 8115sales@redangmutiara.com.my
6Seamonkey Dive CentreTelok Kalong Besar019-987 7068info@seamonkey.com.my
7Redang Pelangi ResortPasir Panjang09-624 215809-623 5202reservation@redangpelangi.com
8Tenggol Coral Beach ResortPulau Tenggol03-425 25668sales@tenggol.com.my
9Aquadive CentrePulau Kapas
10Coral Redang Island ResortPulau Redang09-630 711009-630 7112reservation@coralredang.com.my
11Flora Bay DiversTeluk Dalam, Pulau Perhentian Besar09-691 1661dive@florabaydivers.com
12Fauna Reef DiversTeluk Dalam, Pulau Perhentian Besar013-479 1052
13Alu Alu DiversTeluk Dalam, Pulau Perhentian Besar019-621 8789
14Urban Island DiversTeluk Dalam, Pulau Perhentian Besar09-691 1670
15Leisure Dive ShopTeluk Dalam, Pulau Perhentian Besar019-980 5977
16OctoDivers Dive CentreTeluk Dalam, Pulau Perhentian Besar012-218 4839 / 019-277 9069octodiver.perhentian@gmail.com
17Seahorse DiversPasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil019-984 1181seahorsediver@yahoo.com
18Universal DiversSeberang Tengah, Pulau Perhentian Besar019-289 6418info@universaldiver.net
19The BaratPulau Perhentian Besar09-691 1288thebaratpp@gmail.com
21PIR Dive ShopTeluk Pauh, Pulau Perhentian Besar03-2144 8530reservation@perhentianislandresort.net
22Quiver Team DiversPasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil09-691 1022012-213 8885info@quiver-perhentian.com
24Matahari DiversPasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil019-914 2883 / 010-818 1009mataharidivers@gmail.com
25Turtle Bay DiversPasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil019-669 0028 / 011-6434 6121diveturtlebay@gmail.com
26Spice DiversPasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil09-691 1555011-1076 6735freediveperhentian@gmail.com
27Below The SurfacePasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil017-904 0408hello@btsdivers.com
28Sealife InnTeluk Aur, Pulau Perhentian Kecil014-212 8764info@perhentiansealifeinn.com
30Sea Voice DiversTeluk Aur, Pulau Perhentian Kecil09-691 4992013-494 0092info@seavoicedivers.com

Galeri Foto

No results found.

Informasi

CAWANGAN TAMAN LAUT & PENGURUSAN SUMBER NEGERI TERENGGANU
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu,
No 16, Blok B, Bestari Centre,
Jalan Hiliran, Pulau Kambing,
20300 Kuala Terengganu,
Terengganu

+609-631 2062
+609-622 7266
NORLIZAWATI BINTI IBRAHIM

CAWANGAN TAMAN LAUT & PENGURUSAN SUMBER DAERAH BESUT
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu,
Kampung Seberang Kastam,
22200 Besut,
Terengganu

+609-695 4199
+609-695 5243
ABDUL GHAFFAR B SALLEH

TIPS BERGUNA

Bawa roti ketika mandi-manda di pantai Pulau Redang dan taburkan ke permukaan air. Anda akan dikerumuni pelbagai hidupan marin yang cantik. Sentiasalah jaga kebersihan pantai dan patuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Media Sosial

Lokasi

Lihat Juga

Taman Laut
Taman Laut

5 taman laut di 4 negeri & 1 wilayah persekutuan

Pusat Penyu
Pusat Penyu

6 buah Pusat Konservasi dan 1 Ruang Pameran

Santuari
Santuari

12 pusat santuari di 7 buah negeri

previous arrowprevious arrow
next arrownext arrow