REEF CARE SMART PARTNERSHIP

Home / PROJEK / REEF CARE SMART PARTNERSHIP

Program Reef Care Smart Partnership merupakan sebuah program penjagaan dan pemuliharaan sejumlah kawasan terumbu karang yang dijalankan di kawasan Taman Laut (kini dijalankan di Pulau Tioman, Taman Laut Negeri Pahang) di mana Penjaga (caretaker) yang terdiri daripada individu perseorangan atau kumpulan samada penduduk tempatan, pengusaha resort/chalet/bot dilantik oleh Jabatan Perikanan untuk program ini.

Kawasan tapak program Reef Care dipilih berdasarkan kriteria berikut:

  • Kawasan ‘house reef’, terumbu persisiran pantai atau lokasi menyelam/snorkelling.
  • Mudah diakses.
  • Tidak berada di kawasan laluan bot/feri.
  • Berada di kawasan yang terlindung.
  • Persetujuan daripada penduduk tempatan bagi kawasan yang berhadapan dengan penempatan/kampung mereka.

Berikut adalah syarat-syarat yang ditetapkan bagi Program Reef Care Smart Partnership:

  • Tiada hak milik atau hak mutlak untuk menggunakan kawasan tersebut – penjaga yang dilantik tidak terlibat dengan sebarang penurunan kuasa mahupun pemberian hakmilik/hak eksklusif
  • Keluasan kawasan jagaan ditetapkan hanya 200m x 100m sahaja. Walau bagaimanapun, ianya boleh diluaskan pada kawasan yang TIDAK mempunyai penduduk atau operator yang ramai
  • Penjaga yang dibenarkan adalah kumpulan komuniti setempat (penduduk tetap pulau)/operator yang menjalankan operasi perniagaan resort, rumah tumpangan atau rumah peranginan/operator bot & selam scuba SAHAJA samada secara individu, pertubuhan atau organisasi
  • Hanya Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sahaja yang boleh memberi kebenaran dan kelulusan
  • Tempoh masa yang dibenarkan adalah selama 2 TAHUN. Penyambungan tempoh boleh dilakukan dengan membuat permohonan kepada DOF. (Kebenaran hanya akan diberi berdasarkan prestasi setelah dinilai)
  • Bahagian Taman Laut & Pengurusan Sumber akan menanda kawasan tapak Reef Care menggunakan boya penanda dan keempat-empat penjuru sempadan ini adalah dibawah tanggungjawab dan penjagaan oleh Penjaga yang dilantik
  • Penandaan ini haruslah TIDAK MENGHALANG laluan lintasan feri/bot
  • Penjaga haruslah memastikan kesemua aktiviti rekreasi di kawasan ini MEMATUHI Bahagian IX Akta Perikanan 1985 dan Perintah Fi (Taman Laut Malaysia) 2003 serta lain-lain peraturan berkaitan yang berkuatkuasa
  • DOF TIDAK bertanggungjawab ke atas keselamatan mana-mana individu termasuk pelancong, pekerja dan operator yang terlibat dalam program ini
  • Jabatan yang mewakili Kerajaan Malaysia juga TIDAK akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan, kemusnahan dan kehilangan harta benda serta kerugian yang dialami oleh pihak Penjaga sepanjang program ini berjalan
  • DOF boleh memberhenti atau menarik balik kawasan tapak Reef Care TANPA sebarang pampasan jika Penjaga gagal menguruskan tapak Reef Care dengan berkesan
  • Penalti akan dikenakan jika pihak Penjaga didapati MELANGGAR syarat serta TIDAK PATUH peraturan yang telah ditetapkan
  • Penjaga perlu menguruskan sendiri sisa buangan seperti sisa pepejal, sampah-sarap, minyak bot dan gris serta lain-lain bahan buangan dan mestilah mematuhi Garis Panduan yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar
  • Penjaga boleh memohon untuk menukar atau memindah tapak Reef Care
  • Pihak DOF boleh membuat pemeriksaan/audit ke atas kepatuhan syarat-syarat dan dokumen-dokumen operasi
  • Surat kebenaran operasi perlu DIPAMERKAN pada kawasan yang boleh dilihat dan dibaca
  • DOF akan menyimpan rekod kebenaran dan kelulusan setiap Program Reef Care yang dijalankan
  • Penjaga perlu memberi kebenaran kepada mana-mana pihak lain untuk menggunakan kawasan tersebut dan boleh membuat laporan kepada DOF jika pihak berkenaan melanggar etika dan syarat dalam Program Reef Care

Aktiviti Dibenarkan

  • Berenang, snorkeling, menyelam dan mengambil gambar dalam air
  • Membersihkan sampah sarap di tapak Reef Care
  • Memungut pemangsa terumbu karang seperti haiwan tapak sulaiman berduri (COTs) dan siput dari spesis Thias
  • Melaksanakan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam
  • Penjaga dibenarkan memasang tambatan bot dalam tapak Reef Care masing-masing

Aktiviti Dilarang

  • Mengubah ekosistem terumbu karang dengan memanipulasikannya adalah DILARANG
  • Sekiranya Penjaga hendak melaksanakan aktiviti membaik pulih habitat terumbu dan memasang tukun tiruan di tapak Reef Care, perlu mendapatkan kelulusan daripada DOF terlebih dahulu
  • Pada peringkat awal, DOF dan Penjaga akan menjalankan kajian untuk mendapatkan data seperti terumbu karang, ikan karang, kehadiran Tapak Sulaiman Berduri (COTS), kesan kemusnahan fizikal terumbu akibat bot melabuh sauh atau akibat aktiviti rekreasi (jika ada) dan kedapatan sampah sarap, marin debris, tinggalan pukat/jala atau jala hantu ‘ghost nets’
  • Pemantauan akan dijalankan sepanjang tempoh 6 hingga 9 bulan terhadap aktiviti-aktiviti yang ditetapkan oleh DOF
  • Pemantauan peringkat akhir akan dijalankan pada bulan Ogos – Oktober dan dilakukan sekali setahun bagi setiap kawasan

Berikut adalah insentif bagi program ini:

  • Mendapat pengiktirafan
  • Bahan penerangan mengenai program penjagaan terumbu disediakan
  • Mendapat pendedahan
  • Latihan kejurulatihan Program Pendidikan
  • Latihan Penjagaan dan Restorasi Terumbu Karang
  • Latihan Pemantauan Status Terumbu Karang
  • Insentif lain seperti geran peruntukan, projek kolaborasi, peluang latihan, paparan di laman web dan majlis penganugerahan

Infografik