RESTORASI KARANG

Home / PROJEK / RESTORASI KARANG

Restorasi karang adalah proses yang menggunakan pelbagai teknik untuk membantu mempercepatkan pemuliharaan ekosistem/habitat terumbu karang yang telah rosak atau musnah. Jabatan Perikanan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Program Restorasi Karang bagi menangani masalah kehilangan dan kemerosotan habitat marin khususnya di Taman Laut. Namun perlu diberi perhatian bahawa program restorasi karang bukan satu-satunya penyelesaian kepada pemuliharaan habitat yang rosak. Pengenalpastian dan penyelesaian terhadap ancaman setempat perlu diutamakan sebelum program restorasi karang dapat dilaksanakan di sesuatu kawasan terumbu karang bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan program ini.

Program Restorasi Karang yang berjaya dilaksanakan turut dijangka akan dapat meningkatkan semula nilai estetika kawasan tersebut bagi menarik minat pelancong dan memastikan kelestarian sumber perikanan. Program ini mendapat sokongan dari Majlis Biodiversiti Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri dari setiap negeri, semasa Mesyuaratnya yang pertama pada 22 Oktober 2013.

Setelah sesuatu kawasan dikenalpasti bersesuaian untuk pelaksanaan program restorasi karang di mana faktor ancaman setempat (pencemaran, pencerobohan aktiviti perikanan yang dilarang, aktiviti pelancongan yang terkawal, pembangunan terancang dan lain-lain) telah dikenalpasti dan diselesaikan, proses restorasi karang akan dimulakan. Proses ini perlu melalui lima langkah kerja utama iaitu:

  • Pemilihan tapak semaian berdasarkan ciri-ciri berikut:
    • Terlindung daripada tindakan ombak dan arus kuat.
    • Berhampiran habitat terumbu karang semulajadi.
    • Diluar laluan aktiviti pelayaran dan rekreasi.
    • Dasar berpasir dan tidak berselut/berlumpur.
    • Kedalaman air 5-10m.
    • Air jernih.
    • Mudah diakses untuk pemantauan.
  • Penyediaan struktur restorasi:
    • rekabentuk struktur restorasi dibuat berdasarkan ciri-ciri keperluan hidup karang.
    • Struktur dan binaan restorasi perlu terdiri daripada bahan yang tidak mencemarkan persekitaran marin seperti besi, konkrit marin, pvc, tali, kaca dan lain-lain.
    • Kesesuaian rekabentuk dan bahan binaan struktur restorasi adalah bergantung kepada keadaan fizikal dan biologikal kawasan tapak semaian.
  • Pemilihan, pemungutan dan pemindahan anak benih karang (nubin):
    • Nubin karang yang digunakan perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik.
    • Pada ketika ini, karang hidup yang dipilih merupakan serpihan karang keras ‘hard coral’ yang telah patah dan bukannya diambil daripada kelompok karang induk yang sihat ‘coral of opportunity’.
    • Kebanyakkan karang keras yang digunakan dalam projek restorasi Taman Laut yang bermula pada tahun 2011 ialah daripada spesis Acropora kerana mempunyai taburan yang meluas dan mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat berbanding spesis karang keras lain.
    • Semua kerja perpindahan perlu dilaksanakan dalam air laut dan nubin karang tidak boleh dikeluarkan daripada air laut atau terdedah ke udara.
  • Menyemai/menanam anak benih karang (nubin):
    • Proses ini dilakukan dengan cara mengikat nubin karang pada struktur dengan menggunakan cable tie.
    • Bagi memudahkan kerja mengikat nubin karang, cable tie yang belum dijerut sepenuhnya dipasangkan terlebih dahulu pada struktur.
    • Setelah nubin diikatkan pada struktur, cable-tie akan dijerut sekemas mungkin bagi mengelakkan pergerakan nubin apabila terkena arus air atau ombak.
  • Selenggara nubin dan struktur restorasi karang:
    • Aktiviti pemantauan dan penyelenggaraan dilakukan bagi memasti dan menentukan kejayaan sesuatu program.
    • Pemantauan dan pengukuran bagi kadar hidup dan tumbesaran nubin karang dilakukan dengan berpandukan Garis Panduan Sistem Pemantauan dan Penilaian Projek Pemulihan Karang yang telah dibangunkan oleh Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber.

Tempoh masa yang bersesuaian perlu dipatuhi bagi menyemai dan memindahkan karang ke habitat asal bagi tujuan program restorasi habitat yang telah merosot/degradasi.  Ini kerana pada peringkat awal (suku pertama) dan pertengahan (suku kedua), nubin karang yang ditanam/dilekatkan akan mengalami proses penyesuaian (acclimatization).  Ia juga perlu melalui tempoh pemulihan dari tekanan (stress) yang telah dilalui akibat dari kerosakkan dan kemusnahan sebahagian dari tisu kulit semasa ia dikutip, dipindahkan dan diikat pada struktur para di tapak semaian.

Bagi tempoh masa satu hingga tiga bulan, nubin karang akan melalui peringkat menyesuaikan diri dengan kaedaan setempat. Disyorkan tempoh masa semaian adalah diantara sembilan hingga dua belas bulan.  Tempoh masa ini adalah untuk membolehkan nubin karang mencapai tahap kestabilan dalam pertumbuhan nya sebelum ianya dipindahkan ke habitat asal untuk tumbesaran dan restorasi habitat.

Galeri Foto

Restorasi Karang

Infografik