TAMAN LAUT

Home / LOKASI / TAMAN LAUT

APA ITU TAMAN LAUT?

Taman Laut adalah satu kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua (2) batu nautika dari tikas air laut terendah, KECUALI Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang di zonkan sejauh satu (1) batu nautika dari tikas air surut terendah.

Taman Laut ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara kepelbagaian habitat dan hidupan marin. Segala aktiviti yang merosakkan terumbu karang dan ekosistem laut adalah dilarang dan salah di sisi undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985.

Hari ini, perairan di 42 pulau-pulau di Malaysia telah digazetkan sebagai Taman-Taman Laut.

Mengekalkan sumber perikanan:

  • Terumbu karang adalah kawasan penting untuk pembiakan, sumber makanan dan tempat tinggal bagi ikan-ikan komersil yang penting. Di Malaysia, 30% ikan yang ditangkap bergantung kepada terumbu batu karang. Dengan terpeliharanya terumbu karang secara tidak langsung membantu sektor perikanan, melindungi pekerjaan nelayan dan memastikan kesinambungan bekalan makan yang berterusan.

Mengekalkan kepelbagaian biologi:

  • Terumbu karang adalah ekosistem marin yang paling kaya. Ancaman kepada terumbu karang memberi kesan serius kepada kepelbagaian biologi dunia.

Melindungi perairan kita:

  • Ia berfungsi sebagai penahan hakisan pantai dari ombak. 70-90% tenaga ombak diserap atau dipesongkan apabila ia menghentam terumbu karang. Batu karang yang telah mati atau pecah akan menyuburkan pantai dan menggantikan pasir yang dihanyutkan oleh air laut.

Sumber ekopelancongan:

  • Menjadi sumber tarikan kepada penyelam skuba dan snorkel bagi menerokai keindahan terumbu karang. Pengurusan dan pemantauan yang baik akan mengekalkan terumbu karang sebagi sumber ekopelancongan yang berkekalan.

Jaminan sumber bekalan makanan:

Sebagai jaminan sumber bekalan makanan dan kelestarian industri perikanan.

  1. Memberi perlindungan khas kepada flora dan fauna akuatik, melindungi, memelihara serta mengurus tapak pembiakan semulajadi dan habitat hidupan akuatik dengan memberi perhatian utama kepada spesies flora dan fauna yang unik, sukar dijumpai atau terancam
  2. Memberi peluang dan meningkatkan kadar kemandirian hidupan akuatik yang hampir pupus
  3. Menggalakkan kajian dan penyelidikan saintifik
  4. Mengekal dan meningkatkan produktiviti dan keadaan semulajadi ekosistem tersebut
  5. Mengawalselia aktiviti rekreasi dan aktiviti-aktiviti lain untuk mengelakkan dari berlakunya kerosakan yang berterusan terhadap persekitaran marin
  6. Mengklasifikasikan Perairan Taman Laut kepada zon bagi tujuan seperti mana yang dinyatakan dalam para (1) hingga (5) di atas
  1. Pulau Payar
  2. Pulau Kaca
  3. Pulau Lembu
  4. Pulau Segantang
  1. Pulau Gual
    • Pulau Kelabang
  2. Pulau Harimau
  3. Pulau Mensirip
  4. Pulau Babi Hujung
  5. Pulau Babi Tengah
  6. Pulau Babi Besar
    • Pulau Bukit Tikus
  7. Pulau Rawa
  8. Pulau Tinggi
    • Pulau Iboi
    • Pulau Penyembong
    • Pulau Simbang
    • Pulau Nangka Besar
    • Pulau Nangka Kecil
    • Pulau Apil
    • Pulau Lanting
  9. Pulau Mentigi
  10. Pulau Sibu
    • Pulau Sibu Kecil
    • Pulau Papan
  11. Pulau Sibu Hujong
  12. Pulau Pemanggil
  13. Pulau Aur
    • Pulau Dayong
    • Pulau Lang
    • Pulau Pinang
  1. Pulau Seri Buat
    • Pulau Tasu
    • Pulau Raja
  2. Pulau Sembilang
  3. Pulau Tioman
    • Pulau Renggis
    • Pulau Tumok
    • Pulau Soyak
  4. Pulau Chebeh
  5. Pulau Tulai
  6. Pulau Labas
  7. Pulau Jahat
  8. Pulau Sepoi
  9. Pulau Tokong Bahara
  1. Pulau Susu Dara
    • Pulau Rawa
    • Pulau Serenggeh
    • Pulau Teku Burung
    • Pulau Tokong Kemudi
    • Pulau Tokong Kemudi Barat
  2. Pulau Perhentian Kecil
  3. Pulau Perhentian Besar
  4. Pulau Lang Tengah
  5. Pulau Redang
    • Pulau Ling
    • Pulau Ekor Tebu
    • Pulau Kerengga Besar
    • Pulau Kerengga Kecil
    • Pulau Paku Besar
    • Pulau Paku Kecil
    • Pulau Chupak
  6. Pulau Lima (Limau)
  7. Pulau Ekor Tebu
  8. Pulau Pinang
  9. Pulau Yu Kecil
  10. Pulau Yu Besar
  11. Pulau Kapas
    • Pulau Gemia
  12. Pulang Tenggol
  13. Pulau Nyireh
  1. Pulau Kuraman
  2. Pulau Rusukan Besar
  3. Pulau Rusukan Kecil
  1. Pulau Undan
  2. Pulau Dodol
  3. Pulau Nangka

AKTIVITI DILARANG

Taman Laut merupakan kawasan perlindungan marin di mana aktiviti yang boleh merosakkan terumbu karang dan ekosistemnya adalah dilarang sama sekali dan salah di bawah Akta Perikanan 1985. Aktiviti tersebut ialah:

  • Mengambil, menangkap atau mengganggu mana-mana sumber marin sama ada hidup atau mati
  • Menjalankan sebarang jenis aktiviti sukan air yang menggunakan bot kuasa tinggi
  • Melabuhkan sauh di kawasan terumbu karang
  • Memijak atau menyentuh batu karang
  • Membuang atau meletakkan sebarang bahan pencemar
  • Memiliki atau menggunakan sebarang alat menangkap ikan
  • Membina sebarang struktur di kawasan perairan Taman Laut
  • Menjalankan aktiviti menyelam atau snorkeling di kawasan laluan bot
  • Memijak atau menyentuh batu karang

AKTIVITI DIBENARKAN

Semasa berada dalam kawasan Taman Laut, hanya aktiviti yang tidak merosakkan terumbu karang dan persekitarannya boleh dilakukan.  Aktiviti tersebut ialah:

  • Menyelam
  • Snorkelling
  • Fotografi dalam air
  • Aktiviti rekreasi air seperti berkayak

Terumbu karang adalah:

  • Sejenis organisma hidup kelihatan sperti obor-obor, berada di bawah kumpulan Cnidaria.
  • Terdiri daripada dua kumpulan iaitu:
    • Karang Keras
    • Karang Lembut
  • Simbiosis dengan zooxanthellae menghasilkan Kalsium Carbonat (CaCO3) yang membentuk karang.
  • Karang makan pada waktu malam menggunakan tentakel bagi menangkap makanan.
  • Pembiakan: seksual dan aseksual (Pembelahan dedua)
  • Pertumbuhan bergantung kepada jenis karang:
    • Paling lambat (0.5cm setahun) seperti Massive Coral
    • Paling cepat (10cm setahun) seperti Branching Coral
  • Kadar pertumbuhan dipengaruhi faktor persekitaran
  • Jenis Pertumbuhan Karang:
    • Foliose
    • Massive
    • Columnar
    • Branching
    • Free living
    • Tabulate
    • Encrusting

SEJARAH PENUBUHAN

1983
1985
1987
1989
1990
1994
1998
1999
2000
2003
2004
2006
2007
2008
2010
2012
2015
2017
2018
2019

1983

Penubuhan kawasan perlindungan marin di Semenanjung Malaysia di bawah Jabatan Perikanan Malaysia atas arahan mantan Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Peraturan-peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) digubal di bawah Akta Perikanan 1963.

Pulau Redang, Terengganu telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan Perikanan – Fisheries Prohibited Area (FPA).

1985

Pengisytiharan 22 buah pulau bagi negeri Kedah, Terengganu, Pahang dan Johor sebagai FPA bawah Akta Perikanan 1963.

Pengisytiharan Pulau Talang-Talang Besar, Pulau Talang-Talang Kecil dan Pulau Satang Besar sebagai FPA
dengan penggubalan Akta Perikanan 1985.

1987

Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut telah ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Akta Perikanan 1985.

Kumpulan Wang Amanah Taman Laut dan Rizab Laut telah ditubuhkan.

1989

Pusat Taman Laut Pulau Payar, Kedah mula beroperasi.

1990

Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu mula beroperasi.

1994

Pewartaan 38 buah pulau di negeri Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia 1994.

Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia (Pulau Payar) 1989 adalah dibatalkan.

Pusat Taman Laut Pulau Tioman, Pahang mula beroperasi.

1998

Pulau Nyireh dan Pulau Tenggol di Terengganu telah diwartakan sebagai Taman Laut di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut 1994 (Pindaan)1998 yang menjadikan bilangan Taman Laut di Malaysia
sebanyak 40 buah.

Fi Pemuliharaan Taman Laut diwujudkan.

1999

Pusat Taman Laut Pulau Tinggi, Johor mula beroperasi.

2000

Pindaan Perintah Penubuhan Taman Laut 1994: batasan Taman Laut Pulau Kuraman dipinda dari dua (2) batu
nautika kepada satu (1) batu nautika dari tikas air surut.

2003

Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu mula beroperasi.

2004

Bahagian Taman Laut dan Perikanan Rekreasi Jabatan Perikanan Malaysia telah dipindahkan ke Kementerian
Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sebagai Seksyen Taman Laut dengan kekuatan 86 perjawatan kader.

Visi, Misi, Objektif dan Fungsi Seksyen Taman Laut dibentuk di bawah Kementerian NRE.

2006

Pada 14 Jun 2006, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan sebuah jabatan baru yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir kawasan-kawasan Perlindungan Marin Negara terutamanya kawasan Taman Laut Malaysia. Jabatan ini dikenali dengan nama Jabatan Taman Laut Malaysia.

2007

Melalui Waran Perbendaharaan E.51 Tahun 2007, Perbendaharaan telah meluluskan penubuhan Jabatan
Taman Laut Malaysia (JTLM) dengan pewujudan 154 jawatan baru pelbagai skim perkhidmatan dan gred sebagai tambahan kepada 86 jawatan sedia ada. Kelulusan pertambahan jawatan-jawatan baru ini menjadikan
keseluruhan perjawatan JTLM berjumlah 240 jawatan.

2008

Pada 4 Feb 2008, perairan Pulau Yu Kecil dan Pulau Yu Besar di Negeri Terengganu telah diwartakan sebagai
Taman Laut menjadikan jumlah keseluruhan perairan pulau yang telah diwartakan adalah sebanyak 42 buah pulau.

Ketua Pengarah Pertama Jabatan Taman Laut Malaysia dilantik iaitu Tuan Haji Abd. Jamal bin Mydin.

2010

Ketua Pengarah Kedua Jabatan Taman Laut Malaysia dilantik iaitu Y. Bhg. Dato’ Dr. Sukarno bin Wagiman. Kejadian kelunturan karang berleluasa yang direkodkan pertama kalinya secara saintifik di Malaysia oleh Jabatan Taman Laut Malaysia.

2012

Pengemaskinian nama pulau-pulau yang mana perairannya diwartakan sebagai Taman Laut melalui Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia (Pindaan) 2012. Pindaan ini dibuat kerana didapati terdapat nama pulau-pulau yang diwartakan tidak selaras dengan nama rasmi pulau-pulau tersebut.

Ekspedisi biodiversiti marin pertama Jabatan Taman Laut Malaysiadianjurkan dengan kerjasama MOSTI, dan universiti-universiti tempatan. Ekspedisi saintifik ini dilaksanakan di perairan Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

2015

Malaysia diterima sebagai ahli International Coral Reef Initiative di mana Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar dan Jabatan Taman Laut Malaysia sebagai focal point.

2017

Perintah Fi (Taman Laut Malaysia) 2017 mula berkuatkuasa.

Pindaan terhadap Kadar Fi Pemuliharaan serta Fi Aktiviti diperkenalkan.

2018

Jabatan Taman Laut Malaysia berpindah ke Jabatan Perikanan Malaysia pada Oktober 2018.

2019

Cawangan Pengurusan Sumber Perikanan (CPSP) berpindah ke Bahagian Taman Laut.

Bahagian Taman Laut dijenamakan sebagai Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber (BTLPS).

Infografik

Lokasi

Lihat Juga

Taman Laut
Taman Laut

6 taman laut di 5 negeri & 1 wilayah persekutuan

Pusat Penyu
Pusat Penyu

6 buah Pusat Konservasi dan 1 Ruang Pameran

Santuari
Santuari

12 pusat santuari di 7 buah negeri

previous arrowprevious arrow
next arrownext arrow