PKPP PANTAI KERACHUT

Pusat
Jumlah pusat & kawasan jagaan yang ditadbir
Sarang
Bilangan pendaratan Penyu pada tahun 2019
Spesis
Spesis Penyu mendarat adalah Penyu Agar & Penyu Karah
Pelancong
Jumlah pelancong pada tahun 2019

Pusat Konservasi & Penerangan Penyu Pantai Kerachut terletak di Pantai Kerachut dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang. Penyu dari spesis Penyu Agar dan Penyu Lipas mendarat dan membuat sarang di sekitar Pantai Kerachut, Teluk Kampi dan Teluk Ketapang di dalam Taman Negara ini.

Di Pusat ini, kaedah pengezonan pantai dibuat di kawasan pendaratan Penyu bagi tujuan untuk mengenalpasti kawasan dan memudahkan rekod pengesanan pendaratan.

Berikut adalah pengezonan pantai di dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang:

  • Zon A – Pantai Kerachut dari jeti ke sebelah kiri
  • Zon B – Pantai Kerachut dari jeti ke Tasik Meromiktik
  • Zon C1 – Pantai Teluk Kampi
  • Zon C2 – Pantai Teluk Kampi
  • Zon D – Pantai Teluk Ketapang
  • Zon E – Lain-lain pantai (Pasir Pandak dan Gertak Sanggul)

PKPP Pantai Kerachut dibuka setiap hari dan waktu melawat adalah dari jam 10.00 pagi – 4.30 petang.

Pembangunan PKPP Pantai Kerachut bermula pada tahun 1999 dari penglibatan pemantauan sendirian dengan kerjasama seorang nelayan dari Kuala Sungai Pinang. Bermula dari itu, seterusnya pada tahun 2000, pemantauan secara berkala mula dibantu oleh kakitangan pejabat dengan kerjasama nelayan Kuala Sungai Pinang. Pemungut telur berlesen mula dilantik untuk menjalankan tugas-tugas mengutip telur-telur penyu untuk dikumpulkan di tapak pengeraman.

Di antara tahun 2001 hingga 2006, pemantauan sepenuh masa dilakukan oleh kakitangan Jabatan Perikanan dan pemungut telur berlesen. Dari tahun 2007 hingga kini, pemantauan sepenuh masa dilakukan oleh 4 orang kakitangan Pekerja Rendah Awam (R1 – kontrak)  yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemungut telur berlesen.

Dari segi fasiliti bangunan pusat pula, ia bermula dari sebuah pondok pemantaun kecil yang seterusnya berkembang menjadi sebuah pusat yang lengkap untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pemuliharaan Penyu. Bangunan Pusat ini siap sepenuhnya pada bulan April 2008. Sejak dari itu, penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian Pusat ini.

Ketika melalui jalan laut untuk ke PKPP Pantai Kerachut, pengunjung boleh menyaksikan sendiri Batu Buaya, Batu Arnab dan Batu Penyu.

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat Tasik Meromiktik yang unik di sini. Tasik Meromiktik dengan keluasan 2.77 kilometer persegi, terbentuk daripada aliran lima anak sungai yang terdapat di dalam kawasan hutan Taman Negara Pulau Pinang. Tasik Meromiktik di Malaysia adalah yang kedua selepas Australia. Selain Australia, dikatakan sebuah tasik yang serupa juga terdapat di Laut Hitam. Peralihan musim ketika monsun Timur Laut pada November hingga Mac dan monsun Barat Daya dari Mei hingga September adalah punca pembentukan tasik bermusim ini.

Tasik ini mempunyai 2 lapisan air yang berbeza suhu dan ketumpatan, air laut yang lebih berat akan berada di lapisan bawah manakala air tasik akan berada di bahagian atas. Air laut dan tasik tidak boleh bercampur, dan semasa berada di dalamnya, kita akan dapat merasai perbezaan suhu di mana lapisan air atas adalah sejuk manakala lapisan air bawah pula adalah panas.

PKPP Pantai Kerachut terletak jauh dari penempatan orang awam, sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah pusat konservasi. Pusat ini mempunyai kemudahan-kemudahan infrastruktur asas seperti:

  • Ruang Pameran
  • Ruang Taklimat
  • Hatcheri
  • Rumah Rehat Kakitangan
  • Tandas dan bilik mandi
  • Stor barangan dan bilik janakuasa elektrik

Memandangkan Pusat ini berada di kawasan Taman Negara, tiada resort berhampiran dengannya. Walau bagaimanapun, pengunjung boleh menginap di sekitar Georgetown, Batu Feringgi dan Teluk Bahang. Kawasan tersebut juga turut menyediakan kedai makan, kedai runcit, cenderahati, klinik dan perkhidmatan pelancongan yang lain.

Berikut adalah aktiviti-aktiviti utama yang dijalankan di Pusat ini:

  • Melindungi penyu daripada gangguan manusia & haiwan liar semasa mendarat & bertelur.
  • Menjalankan program-program penetasan, pemuliharaan dan penyelidikan mengenai penyu.
  • Memberi penerangan dan menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan serta kesedaran awam pentingnya penyu perlu dilindungi.
  • Menganjurkan pelbagai program CSR bersama agensi kerajaan, pihak swasta, institusi pendidikan & orang awam berkaitan pemuliharaan penyu.
  • Mengembalikan semula habitat semulajadi penyu dengan penaman pokok ambong-ambong di sepanjang persisir pantai.

Melalui Jalan Darat

Menerusi Lebuhraya Utara Selatan, pengunjung akan keluar di persimpangan Jambatan Pulau Pinang. Cari arah ke Batu Feringgi dan terus ke Teluk Bahang. Perjalanan dari Kuala Lumpur hampir 375 kilometer manakala dari Georgetown hampir 30 km. Seterusnya, pengunjung perlu meneruskan perjalanan ke Pusat melalui jalan laut.

Melalui Jalan Laut

Seterusnya, pengunjung perlu menaiki bot laju dari Jeti Teluk Bahang ke Pantai Kerachut. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 30 minit. Pusat ini terletak  tidak jauh dari Jeti Pantai Kerachut.

Galeri Foto

PKPP Pantai Kerachut

PKPP Pantai Kerachut

Informasi

PUSAT KONSERVASI & PENERANGAN PENYU PANTAI KERACHUT
Teluk Bahang,
11050 Tanjung Bungah,
Pulau Pinang

+604-657 2777
+604-657 2323
+6012-267 8464
NAJMIATUN NAJWA BT ABDULLAH

TIPS BERGUNA

Untuk memastikan perjalanan yang lancar ke Pusat ini, pastikan anda menempah bot terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Rancang perjalanan anda dan bawa bekalan yang perlu kerana tiada kemudahan kedai di kawasan ini.

Media Sosial

Lokasi

Lihat Juga

Taman Laut
Taman Laut

6 taman laut di 5 negeri & 1 wilayah persekutuan

Pusat Penyu
Pusat Penyu

6 buah Pusat Konservasi dan 1 Ruang Pameran

Santuari
Santuari

12 pusat santuari di 7 buah negeri

previous arrowprevious arrow
next arrownext arrow