PKPP RANTAU ABANG

Pusat
Jumlah pusat & kawasan jagaan yang ditadbir
Sarang
Bilangan pendaratan Penyu pada tahun 2019
Spesis
Spesis Penyu mendarat adalah Penyu Agar, Penyu Karah & Penyu Belimbing
Pelancong
Jumlah pelancong pada tahun 2019

Pusat Konservasi & Penerangan Penyu Rantau Abang terletak di jalan pesisiran pantai Rantau Abang, Dungun, Terengganu. Panjang pantai Pusat ini ialah 14 KM dari Kampung Jambu Bongkok hingga Kampung Sungai Kuala Abang.

Pantai Rantau Abang menerima pendaratan Penyu Belimbing dan Penyu Agar dan juga Penyu Karah di mana purata pendaratannya adalah 70 hingga 80 sarang setahun. Pentadbiran pusat ini menguruskan aktiviti pemuliharaan dan konservasi Penyu di seluruh negeri Terengganu.

Terdapat 10 kawasan pusat konservasi dan pemuliharaan yang ditadbir oleh PKPP Rantau Abang iaitu:

  • Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Teluk Mak Nik, Geliga, Kemaman
  • Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Caghar Hutang, Kerteh
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Dan Tuntung Laut Ru Kudung, Paka
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Mak Simpan, Pulau Redang
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Mak Kepit, Pulau Redang
  • Pusat Taman Laut Pulau Redang
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Telaga Papan & Kuala Bharu Selatan, Setiu
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Tiga Ruang, Pulau Perhentian, Besut

Pusat ini telah melepaskan lebih 100,000 anak penyu kembali ke laut melalui beberapa proses inkubasi yang berjaya dan program pelepasan. PKPP Rantau Abang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 5 petang (kecuali pada cuti umum Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha). Rondaan pantai pula dilakukan oleh kakitangan yang bertugas dari jam 9 malam hingga 6 pagi.

Bermula dari tahun 1961-1978, sebanyak 672,323 biji telur Penyu Belimbing telah dieramkan. Dari jumlah itu, sebanyak 337,063 ekor anak Penyu telah menetas dan dilepaskan semula ke laut. Sepanjang tempoh dari tahun 1967-1978 juga, sebanyak 12,500 ekor penyu telah mendarat dan ditanda. Hasil dari aktiviti penandaan ini, didapati 2,500 ekor Penyu tersebut telah mendarat kembali pada tahun-tahun berikutnya untuk membuat sarang dan bertelur.

Bagi menjalankan aktiviti-akiviti pemantauan dan konservasi dengan lebih berkesan, pembinaan Pusat  Konservasi mula dilakukan. Bangunan Pusat siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada tahun 1985. Pusat ini dibina di kawasan seluas 0.5 hektar di Kampung Rantau Abang di Daerah Dungun. Jaraknya ialah 75 KM di selatan Kuala Terengganu dan 17 KM di utara Dungun. Pembinaan bangunan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu manakala pengurusannya adalah di bawah kelolaan Jabatan Perikanan Malaysia. Perasmian Pusat ini telah dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu, Y.A.B.  Dato’ Seri Amar DiRaja Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad pada 20 Oktober 1986.

Pada Januari 1989, tempat ini telah diisytiharkan sebagai Santuari Penyu Rantau Abang selaras dengan pengisytiharan kawasan Santuari Penyu Rantau Abang. Pusat ini kini dikenali sebagai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Rantau Abang.

Pada tahun 1991, Kementerian Pertanian Malaysia mewartakan perairan laut sejauh 10 batu nautika sebagai kawasan larangan menangkap ikan (Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan)(Rantau Abang) 1991).

Terdapat banyak resort dan pusat pelancongan di sekitar PKPP di mana ini memudahkan para pengunjung untuk datang melawat ke Pusat ini dan menyaksikan pelepasan anak penyu dari pihak PKPP di Pantai Rantau Abang. Para pengunjung juga boleh melihat proses penanaman telur Penyu dan penetasan anak Penyu jika datang pada waktu yang tepat. Antara tarikan dan keunikan lain yang terdapat di sekitar PKPP Rantau Abang adalah Tandas Terbersih di Asia Tenggara serta Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC).

Pusat ini menyediakan fasiliti-fasiliti berikut untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pemuliharaan dan juga untuk kemudahan pengunjung:

  • Hatcheri
  • Kolam Penyu
  • Kolam Tuntung Laut
  • Bilik Pameran/Galeri
  • Tandas
  • Bangku Rehat
  • Surau

Selain PKPP Rantau Abang, Pusat Pemuliharaan dan kawasan jagaan lain dibawah pengurusan PKPP Rantau Abang juga mempunyai fasiliti-fasiliti seperti berikut:

  • Pusat Pemuliharaan Penyu Teluk Mak Nik – Hatcheri dan Rumah Pekerja
  • Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah – Rumah Panjang, Galeri Pameran, Hacheri, Rumah VIP, Rumah BP, Surau Tandas dan Gazebo
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Caghar Hutang – Hatcheri, Rumah Pekerja & Gazebo
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Pulau Perhentian – Hatcheri, Rumah VIP dan Rumah Tetamu
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Pulau Redang (Mak Kepit dan Mak Simpan) – Hatcheri
  • Pusat Pemuliharaan Penyu Ru Kudung – Hatcheri

Kawasan PKPP Rantau Abang yang berhampiran dengan pantai menjadikannya sebuah tempat yang sangat sesuai untuk pelancongan. Berhampiran dengan Pusat ini, terdapat banyak resort-resort peranginan serta chalet di sepanjang jalan pesisir Pantai Dungun bagi pengunjung yang ingin menginap. Bandar Dungun pula terletak 20 minit dari PKPP melalui Jalan Persekutuan. Di sini terdapat banyak kemudahan seperti hospital, kedai makan, pasar raya dan sebagainya.

Di antara aktiviti yang dijalankan di PKPP Rantau Abang adalah:

  • Mengadakan pameran berkaitan Penyu dan Tuntung Laut
  • Aktiviti pelepasan anak-anak Penyu ke laut
  • Penanaman telur Penyu
  • Menjalankan bengkel kesedaran tentang Penyu
  • Menganjurkan Kursus-kursus berkaitan Penyu
  • Program kesedaran masyarakat tentang kepentingan Penyu dan alam sekitar
  • Program pendidikan dan kesedaran untuk pelajar sekolah

Melalui Udara

Anda boleh menaiki pesawat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Seterusnya, anda perlu menaiki kenderaan darat ke arah Bandar Dungun.

Melalui Darat

PKPP Rantau Abang boleh diakses melalui Jalan Darat dengan mudah kerana bangunan Pusatnya berada betul-betul di tepi Jalan Persekutuan Pesisiran Pantai Dungun. Anda boleh menyewa mana-mana kenderaan sewa untuk ke sini. Selain itu, bagi yang memandu dari Kuala Lumpur, anda boleh melalui Lebuhraya Pantai Timur II ke Negeri Terengganu dan keluar di simpang Plaza Tol Dungun ke arah kiri melalui Jalan ke Kuala Dungun (T127)  – Jalan Durian Mentangau (T11) – Jalan Bukit Besi-Dungun (Laluan 132) – Jalan Persekutuan. Tempoh perjalanan dari Plaza Tol Dungun ke sini adalah lebih kurang 30 minit.

Galeri Foto

PKPP Rantau Abang

PKPP Rantau Abang

Informasi

PUSAT KONSERVASI & PENERANGAN PENYU RANTAU ABANG
Jalan Kuala Terengganu-Dungun,
23050 Dungun, Terengganu

+609-844 4169
+609-844 4169
+6019-397 7979
MOHAMMAD FIRDAUS B ABDILLAH

TIPS BERGUNA

Terdapat banyak kedai di sepanjang Jalan Pesisir Pantai dari Dungun hinggalah ke Rusila yang menjual Keropok Lekor, Batik, Kraf Tangan, cenderahati dan sebagainya. Anda disarankan untuk menyewa kenderaan atau membawa kenderaan sendiri bagi memudahkan persinggahan anda ke tempat-tempat ini. Selain itu, datanglah ke mari di antara bulan Mac hingga Oktober kerana cuaca adalah baik pada ketika ini.

Lokasi

Lihat Juga

Taman Laut
Taman Laut

6 taman laut di 5 negeri & 1 wilayah persekutuan

Pusat Penyu
Pusat Penyu

6 buah Pusat Konservasi dan 1 Ruang Pameran

Santuari
Santuari

12 pusat santuari di 7 buah negeri

previous arrowprevious arrow
next arrownext arrow