Pusat Konservasi dan Penerangan Segari merupakan satu pusat konservasi penyu yang terdapat di Negeri Perak. Pemilihan kawasan Pasir Panjang, Segari sebagai Pusat Konservasi Penyu adalah sangat tepat kerana sehingga kini masih terdapat penyu mendarat dan telurnya telah dikumpul untuk ditetaskan di hacheri. Pembangunan pusat ini telah mendapat sokongan padu dari Kerajaan Negeri Perak dan juga Kerajaan Persekutuan.
Sebahagian besar kos operasi PKPP Segari dibiayai dari peruntukan Kerajaan Negeri sementara Kerajaan Persekutuan memberi bantuan untuk projek-projek pembangunan pusat. Pusat ini telah menjadi destinasi pelancongan utama pelancong dari dalam dan luar negeri yang melawat ke Negeri Perak. Pihak Kerajaan juga kini dalam proses untuk membuka sebuah lagi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor.
Hanya terdapat 1 spesis penyu sahaja yang mendarat di Pasir Panjang iaitu Penyu Agar. Walau bagaimanapun, anda masih lagi berpeluang untuk melihat spesis lain iaitu Penyu Lipas dan Penyu Karah yang berada di dalam kolam pameran di pusat ini. PKPP Segari dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 5 petang.
Negeri Perak merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang terdapat pendaratan penyu di pantainya. Kajian kesesuaian tapak untuk Pusat Penetasan Penyu telah bermula pada pertengahan tahun 1989 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia dan WWF. Pusat ini telah mula didirikan pada tahun 1990 dengan keluasan tapak 0.1 ha. Pada tahun 1992, Kerajaan Negeri telah meluluskan kawasan pusat ini kepada 5.5 ekar di atas rezab Jabatan Perikanan.
Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan peruntukan Pembangunan Rancangan Malaysia Ke 11 sebanyak RM 1.15 juta bagi tujuan membina bangunan baru Pusat Konservasi Penyu Segari. Projek ini dilaksanakan oleh JKR Perak bermula dengan penyediakan pelan reka bentuk dan panggilan tender. Kerja-kerja pembinaan dijangka siap pada akhir tahun 2020.
PKPP Segari terletak di kawasan pesisir Pantai Pasir Panjang. Pantai ini sangat indah dan boleh dikunjungi oleh para pelancong. Pantainya bersih serta mempunyai pemandangan matahari terbenam yang cukup cantik. Pantai Remis pula terletak 15 minit dari pusat ini. Selain pantai Remis, pengunjung juga boleh melawat Pantai Teluk Rubiah yang terletak lebih kurang 40 minit dari Pusat ini. Pengunjung yang berhasrat untuk ke Pulau Pangkor pula boleh menyewa bot dari Jeti Lumut yang terletak lebih kurang 45 minit dari Pusat ini melalui Jalan Changkat Jering-Seri Manjung.
Fasiliti-fasiliti yang terdapat di PKPP Segari adalah seperti berikut:
- Dewan Pelawat
- Bangunan Pemantauan Marin
- Pusat Penerangan
- Kolam Penyu Dewasa
- Tangki Asuhan Anak Penyu
- Tapak Penetasan
- Surau
- Tandas
Pengunjung yang datang mestilah terlebih dahulu mendaftar di Dewan Pelawat dan akan diberikan taklimat oleh kakitangan bertugas sebelum dibawa ke bahagian pameran.
Bagi pengunjung-pengunjung yang berhasrat untuk menginap pula, anda disyorkan untuk ke kawasan Pantai Teluk Batik, Jeti Lumut atau Pantai Teluk Rubiah kerana terdapat banyak resort dan chalet untuk penginapan di sana. Terdapat juga pilihan restoran-restoran untuk menikmati juadah makanan laut di kawasan-kawasan tersebut.
Aktiviti utama yang dijalankan di Pusat ini meliputi tugas seperti berikut.
Pengutipan telur penyu:
Tugas mengutip telur penyu diserahkan secara kontrak kepada Kontraktor tempatan yang diberi kuasa oleh Pengarah Perikanan Negeri Perak. Semua telur penyu yang dikutip diserahkan pada setiap pagi kepada petugas di Pusat dan direkodkan untuk bagi tujuan pembayaran. Setiap telur yang dihantar akan dibayar dengan harga RM2.00/biji.
Petugas Pusat juga menjalankan kerja kerja pengutipan telur penyu disamping membuat pengawasan kawasan pendaratan penyu di sepanjang pantai Pasir Panjang, Segari. Mereka menggunakan kenderaan motosikal pantai (beach motocycle). Sarang penyu dan jumlah telur yang ditemui akan direkodkan dan dibawa ke hacheri untuk ditanam bagi tujuan penetasan.
Pengeraman/penetasan telur penyu (hatcheri):
Semua telur penyu yang diterima daripada Kontraktor atau ditemui oleh Petugas akan ditanam serta merta di tapak hacheri. Kerja kerja membuat sarang, bilangan telur yang ditanam dan kaedah merekod dijalankan oleh Petugas yang telah menerima latihan khas daripada Jabatan Perikanan. Telur penyu akan menetas dalam tempoh 60 hingga 80 hari.
Pemeliharaan/asuhan anak penyu:
Anak anak penyu yang baru menetas akan dipindahkan ke kolam asuhan bagi tujuan pemerhatian kesihatan dan kecergasan. Sepanjang masa dikolam asuhan anak anak penyu diberi makan isi ikan sebagai sumber protein bagi tumbesaran dan kecergasan. Anak-anak penyu diasuh selama 7 hari sehingga mencapai saiz yang sesuai sebelum dilepaskan ke laut.
Pelepasan anak penyu:
Anak anak penyu berjaya melepasi tempoh asuhan akan diasingkan dan dibawa ke tepi pantai untuk dilepaskan kelaut. Kerja kerja pelepasan dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi keselesaan anak penyu dan keselamatan apabila berada dihabitat asal.
Aktiviti pelepasan anak penyu kebiasaanya dibuat secara serentak dengan program program lawatan VVIP atau pelajar sekolah bagi tujuan publisiti dan kesedaran pemuliharaan penyu. Jumlah anak penyu yang dilepaskan juga direkod oleh petugas.
Pemeliharaan penyu dikolam:
Pada masa ini terdapat 22 ekor penyu agar (Cylonia mydas) yang dipelihara didalam kolam di Pusat Penyu Segari. Penyu tersebut dipelihara sejak penubuhan pusat pada tahun 1990. Penyu ini beri makan isi ikan dan sayur sebagai diet harian bagi pembesaran dan kecergasan penyu tersebut.
Petugas membersihkan kolam penyu setiap hari dan menukar air laut menggantikan air yang telah kotor. Penyu ini yang dipelihara bagi tujuan kajian dan tarikan pelancung yang berkunjung ke Pusat tersebut.
Penerangan kepada pelancong/pelawat:
Pada masa ini terdapat dua kemudahan yang digunakan bagi memberikan penerangan mengenai Pusat Penyu Sagari kepada pelawat/atau pelancung. Penerangan ringkas kebiasaanya dibuat di dalam Galeri yang mempamerkan sejarah, biologi dan aktiviti pemuliharaan penyu. Pelawat akan dibawa ke kawasan hacheri, kolam asuhan dan kolam penyu disamping diberikan penerangan oleh pegawai bertugas.
Bilik Taklimat digunakan bagi penerangan kepada pelawat atau VVIP yang datang berkunjung. Penerangan dibuat menggunakan kemudahan IT seperti komputer dan LCD Projektor. Bilik Taklimat juga digunakan bagi tujuan mesyuarat dan kerja kerja lapangan oleh pegawai penyelidik.
Aktiviti untuk pengunjung:
Bagi pengunjung-pengunjung yang berminat, anda bolehlah mengikut aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat mengikut jadual yang ditetapkan seperti berikut:
- Pembersihan Pantai
- Pembersihan Kolam Penyu
- Pembersihan Kawasan Pusat
- Penanaman pokok ambung-ambung
- Pelepasan anak-anak Penyu
- Program taklimat kesedaran
- Aktiviti Perkemahan
- Kembara Penyu waktu malam
Melalui Jalan Darat
PKPP Segari terletak di pantai Pasir Panjang, Segari, Manjung, Perak. Jarak dari Lumut adalah sejauh 30 km dan dari Pantai Remis kira kira 15 km. Pusat ini boleh dihubungi melalui jalan darat iaitu Jalan Lumut-Taiping dan seterusnya melalui jalan PLB ke pantai Pasir Panjang. Bersebelahan dengan Pusat ini adalah Bangunan Baitulhilal (tempat melihat anak bulan) milik Majlis Agama Islam Negeri Perak.